ProZ Pro Bono Sekilas Pandang
Sebahagian besar laman web ini adalah dalam Bahasa Inggeris, namun kami juga ingin menawarkan peluang kepada rakan-rakan dan pelanggan kami dari negara-negara di serata dunia untuk mengetahui tentang program ini dalam bahasa mereka sendiri. Halaman di bawah menjelaskan tentang projek, orang-orang yang terlibat, dan motivasi projek ini. Ia diterjemahkan oleh beberapa sukarelawan terbaik kami. Dan sila ambil perhatian bahawa anda juga boleh menghubungi kami dalam mana-mana bahasa dan kami akan membalas kepada anda dalam bahasa yang sama.
Apa, siapa, bila, di mana, mengapa?
Apa?
Program ProZ Pro Bono adalah inisiatif amal tanpa bayaran yang dilancarkan oleh ProZ.com, komuniti penterjemah dan jurubahasa profesional terbesar di dunia. Program ini menghubungkan para profesional bahasa dengan pertubuhan bukan untung dan individu yang memerlukan perkhidmatan terjemahan dan penjurubahasaaan, semuanya secara sukarela. Melalui program ini, ProZ.com memudahkan rangkaian sokongan linguistik di peringkat global, membolehkan akses kepada maklumat dan perkhidmatan penting untuk komuniti yang kurang mendapat perhatian.
Siapa?
Program ProZ Pro Bono memberikan perkhidmatan kepada pertubuhan bukan untung di seluruh dunia, supaya mereka dapat menangani komuniti berbilang bahasa, dan menumpukan sumber yang terhad kepada tujuan utama mereka untuk berkhidmat kepada golongan yang kurang bernasib baik. Kerja terjemahan dan penjurubahasaaan dijalankan oleh profesional bahasa yang merupakan ahli berdaftar ProZ.com. Individu-individu ini bersemangat untuk mencipta impak positif dengan menawarkan kepakaran mereka secara percuma kepada mereka yang memerlukan bantuan. Ia dibiayai oleh ahli-ahli ProZ.com
Di mana?
Program ProZ Pro Bono beroperasi di skala global. Para profesional bahasa dan pertubuhan bukan untung dari seluruh dunia boleh mengambil bahagian. Program ini memanfaatkan sifat maya ProZ.com, yang membolehkan kerjasama merentasi sempadan. Sukarelawan dapat menawarkan perkhidmatan mereka dan penerima manfaat boleh memohon bantuan tanpa mengira lokasi geografi mereka.
Bila?
Program ProZ Pro Bono adalah inisiatif yang berterusan, dan penyertaan boleh dilakukan sepanjang tahun. Profesional bahasa boleh mendaftar sebagai sukarelawan pada bila-bila masa, dan pertubuhan bukan untung atau individu yang memerlukan boleh mengemukakan permintaan pada bila-bila masa yang diperlukan. Fleksibiliti masa membolehkan respon segera kepada keperluan berkaitan bahasa yang mendesak.
Kenapa?
Program ProZ Pro Bono berperanan penting dalam merapatkan jurang linguistik bagi mereka yang mungkin bergelut untuk menyediakan atau mendapatkan akses kepada maklumat dan perkhidmatan yang penting. Ia selaras dengan nilai-nilai teras ProZ.com, iaitu untuk memupuk kerjasama dan sokongan dalam komuniti penterjemahan dan penjurubahasaan, dan untuk mencipta perubahan yang bermakna di dunia. Program ini memenuhi misi yang lebih luas dalam mempromosikan pemahaman, komunikasi, dan akses terhadap informasi secara global.
Program ini merupakan usaha yang penuh kasih dan memberi impak yang memperkasakan para profesional bahasa untuk menawarkan kemahiran mereka secara sukarela, menyediakan perkhidmatan penting kepada mereka yang memerlukannya di seluruh dunia. Sukarelawan penterjemah dan jurubahasa dalam program ProZ Pro Bono menyumbangkan kemahiran dan kepakaran mereka, bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk memberikan impak positif kepada mereka yang memerlukan sokongan bahasa.
Lihat halaman Ambassadors untuk mengetahui sama ada kami mempunyai wakil di negara atau bahasa anda!
Translated by/Diterjemahkan oleh: Dira Symonds